KUALA KANGSAR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menambah bilangan pasar tani kekal di bawah konsep My Farm Outlet untuk memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, setakat ini terdapat sebuah My Farm Outlet di Putrajaya yang mendapat sambutan baik, termasuk dari kalangan pegawai tinggi kerajaan dan menteri.

Menurut beliau, sebuah lagi outlet seperti itu akan dibuka di Manjung, perak pada awal bulan Jun ini.

Ujarnya, di dalam keadaan ekonomi sekarang, pengguna mesti bersedia untuk mengubah gaya membeli belah dari super market kepada pasar tani.

“Kepada pembeli dan penguna, mereka kena cerdik, jika membeli di super market atau hyper market, barang yang dibeli sama tetapi harga lebih tinggi.

“Ini disebabkan penjual di  pasar hyper market dan super market terpaksa menanggung kos yang tinggi, termasuk sewa dan kemudahan-kemudahan lain,”katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan ke pasar tani di Bandar Kuala Kangsar, di sini pada Sabtu.

Tajuddin berkata, bagi terus membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup, kementeriannya bersama-sama beberapa kementerian lain melaksanakan program My Best Buy yang menjual barangan keperluan dapur pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Menurut beliau, setakat ini, program itu telah dilaksanakan di 68 buah lokasi di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau menyeru golongan muda supaya menceburi bidang perniagaan di pasar tani dan tidak hanya mengharapkan kerja makan gaji sahaja.

“Di sini, tempat orang muda boleh belajar dan menimba pengalaman untuk menjadi usahawan yang berjaya.

“Kita amat ingin melihat ramai generasi muda tampil untuk menyahut seruan kerajaan, tampil melibatkan diri dalam bidang perniagaan, keusahawan, jangan bergantung kepada makan gaji sahaja,” ujarnya.

Tajudin mengakui bahawa buat masa ini, masih kurang golongan muda yang mengambil peluang berniaga di pasar tani seluruh negara.