Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KAMUNTING: Seramai 30 orang dari sekitar kawasan perumahan Changkat Larah di sini terpaksa dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara(PPS) berikutan banjir kilat yang bermula sekitar 8 malam Selasa.

Difahamkan, paras air mula meningkat di sekitar kawasan perumahan yang berhampiran dengan kawasan perparitan itu sejak petang Selasa dan masih belum surut sehingga pukul 10 malam.

Buat masa ini, lebih daripada tujuh keluarga ditempatkan di Dewan Changkat Larah bersama dengan mangsa banjir lain dan dipantau oleh anggota sukarelawanan banjir.

ADUN Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria juga telah melaksanakan lawatan di pusat pemindahan banjir bersama dengan Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Wanita UMNO serta beberapa agensi terlibat.

banjir-kamunting 3

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau turut meluangkan masa memastikan segala kelengkapan mangsa banjir kilat tersedia di dewan tersebut.

Paras air di kawasan berkenaan difahamkan telah mencecah paras betis dan masih lagi kekal tanpa sebarang tanda-tanda untuk surut dalam masa terdekat.

Laporan lanjut daripada pihak bomba akan menyusul lanjut.