KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM65.47 juta dirampas dalam beberapa siri serbuan dijalankan polis bagi tempoh 1 Januari hingga 11 April lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, pihaknya turut menahan 47,389 individu yang terbabit dengan kegiatan dadah sepanjang tempoh berkenaan.

“Daripada 2,206.89 kilogram dadah yang dirampas 1,146.81 kilogram (kg) adalah ganja, syabu (801.41 kg), heroin (162.30 kg), pil eramin 5 (41.41 kg), pil ekstasi (30.29 kg), ketamin (13.56 kg) dan pil yaba (11.11 kg).

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM65.47 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, seramai 21,233 individu ditahan selepas ujian saringan air kencing dilakukan didapati postif dan tangkapan terhadap 18,501 individu kerana memiliki dadah selain penahanan 7,655 individu adalah pengedar dalam tempoh berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 44,597 individu yang ditahan adalah warga tempatan, manakala 2,792 individu adalah warga asing. Kami turut menahan 369 individu mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Sepanjang tempoh itu juga, kami sudah membongkar 11 makmal dadah di seluruh negara. Malah, harta bernilai RM22.80 juta disita selain RM1.17 juta harta dilucutkan hak,” katanya.

Katanya, pihaknya komited dalam melaksanakan bagi membanteras kegiatan dadah di seluruh negara dengan melakukan operasi dan serbuan secara konsisten.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan dadah diminta tampil di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya – berita harian