IPOH — Sebanyak RM218.34 juta membabitkan geran dan pinjaman mudah disalurkan kepada Perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) di Perak sejak Januari hingga 30 Jun tahun ini.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi, berkata, antara geran pinjaman mudah yang diberikan termasuk Program Pemecutan Perniagaan berjumlah RM18 juta serta Skim Pembiayaan Syariah SME membabitkan peruntukan sebanyak RM28.23 juta.

Selain itu katanya, program keusahawanan Tunas Usahawan Belia Bumiputera memperuntukkan sejumlah RM3.77 juta membabitkan 424 peserta.

“Program itu mewujudkan 251 peluang pekerjaan dengan jumlah jualan sebanyak RM18 juta,” katanya ketika berucap pada perasmian penutup Skim Latihan dan Promosi Program Galakan Eskport Bumiputera (GEB), di sini, semalam.

Program dua hari yang bermula kelmarin itu dianjurkan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan turut dihadiri Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy serta Pengarah SME Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razali.

Perak adalah lokasi keempat siri latihan berkenaan selepas Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dalam pada itu, Asmuni berkata, GEB dilaksanakan khusus bagi membantu PKS terutama Bumiputera meneroka pasaran antarabangsa, lebih berdaya saing, berkeyakinan serta berupaya mengenalpasti peluang pasaran eskport di peringkat global.

“Langkah ini mampu bertindak sebagai pemangkin pembabitan syarikat PKS untuk merebut peluang peluasan pasaran antarabangsa,” katanya.

Asmuni berkata, dana sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk penganjuran GEB tahun ini.– Bernama