IPOH: Sebanyak RM70,680 subsidi yuran pengasuhan telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 14 buah taska swasta yang berkelayakan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata, bilangan itu adalah dari 20 buah taska swasta di negeri ini yang memohon subsidi berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan turut menyediakan insentif kepada sektor swasta sejak tahun taksiran 2014, bagi tujuan menggalakkan mereka membuka taska di tempat kerja.

“Kerajaan juga menggalakkan orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menubuhkan taska di kawasan yang masih kurang pusat asuhan.

“Mereka boleh terus berhubung terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat berhampiran untuk mendapatkan khidmat nasihat, borang dan garis panduan pendaftaran taska,” katanya ketika menjawab soalan YB Ng Shy Ching (PKR – Teja) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

YB Wong berkata, sebagai usaha untuk membantu golongan wanita yang berumahtangga agar dapat menceburkan diri dalam kerjaya, kerajaan menggalakkan mereka bergiat aktif dalam bidang keusahawanan.

Beliau menjelaskan, di antara agensi yang berperanan memberi latihan kemahiran kepada wanita berumahtangga adalah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak.

Menurutnya, agensi ini menjalankan latihan bagi melahirkan usahawan yang berdaya maju di kalangan wanita dan ibu tunggal melalui DeWI (Development of Women Entrepreneurs Initiative).

Beliau memberitahu, sejak 2016 hingga Jun 2018, sebanyak RM160,000 peruntukan telah diluluskan untuk memberi latihan kepada 305 usahawan dan bakal usahawan di kalangan golongan berkenaan.

Beliau menambah, selain program DeWI, Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak juga telah menjalankan Program CBE (Community Based Entrepreneurs) yang juga merupakan program berbentuk kemahiran.

“Sepanjang tahun 2017-2018 sebanyak 106 jenis kursus yang telah dijalankan, antaranya adalah pemprosesan makanan, jahittan, tatahias, urutan, kraftangan dan sebagainya.

“Sepanjang tempoh itu juga, seramai 981 orang peserta wanita dan ibu tunggal telah terlibat,” ujarnya.