BAGAN DATUK: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir menasihatkan wakil kerajaan seperti penjawat awam dan wakil rakyat, termasuk Speaker Dewan Udangan Negeri supaya lebih berhati-hati ketika menerima jemputan daripada pihak tertentu.

Menurut beliau, mereka harus menyemak terlebih dahulu kesahihan jemputan bagi memastikan nama baik kerajaan negeri tidak tercalar.

“Mereka perlu menyiasat terlebih dahulu sesuatu program yang dilaksanakan, bertanya dengan agensi-agensi terlibat adakah ianya betul atau pun tidak, sebelum menghadirinya.

“Mereka juga boleh bertanyakan terus kepada Pejabat Menteri Besar jika mahu,” katanya dalam sidang media di Bagan Datuk pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Speaker DUN Perak, S. Thangeswary merasmikan satu majlis yang tidak diiktiraf kerajaan negeri baru-baru ini.

Namun, Menteri Besar menegaskan bahawa kejadian yang turut dihadiri oleh seorang Pegawai Daerah itu sudah tentu tidak disengajakan oleh pihak terlibat dan ianya terjadi akibat salah faham.

“Saya tidak salahkan mereka yang hadir kerana mungkin mereka menerima jemputan kad dan berasa bertanggungjawab untuk datang sedangkan mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

“Saya tidak mahu memberi amaran atau sebagainya, cuma mungkin pada waktu akan datang, mereka perlu lebih berhati-hati berkenaan isu-isu seperti ini,” jelasnya.

Pada Khamis, sebuah syarikat telah mengadakan majlis perasmian kerja-kerja awal cadangan pembinaan Lebuhraya Jelapang- Selama – Batu Kawan (JELAS) di Gopeng.

Dakwa syarikat berkenaan, projek pembinaan lebuh raya sepanjang 116 kilometer itu telah mendapat persetujuan dan kebenaran dari kerajaan negeri serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Namun Dr Zambry kemudiannya menafikan sekeras-kerasnya telah memberi kebenaran untuk pembinaan lebuhraya tersebut.

“Kita akan berbincang dengan pihak LLM untuk menimbang jika tindakan undang-undang akan diambil terhadap syarikat itu atau pun tidak.

“Syarikat itu secara langsung telah menggunakan nama LLM, tapi kita sedang memeriksa sekiranya mereka turut telah menggunakan nama kerajaan negeri,” jelas beliau.