HUJAN lebat berterusan sejak jam 4 petang semalam, menyebabkan sebahagian laluan projek Lebuhraya Pan Borneo, di Bintulu yang sedang dalam pembinaan mendap dan runtuh.

Laluan terjejas di Kilometer 48 Jalan Bintulu – Tatau, berhadapan Rumah Panjang Jiram dekat Pekan Tatau.

Kejadian 4.45 petang itu menyebabkan jalan berkenaan mengalami kerosakan teruk, selain menjejaskan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, pada mulanya hanya berlaku gelongsoran serta runtuhan pada laluan kiri jalan.

“Bagaimanapun, laluan berkenaan runtuh sepenuhnya pada jam 6 petang semalam hingga menyebabkan ia tidak dapat dilalui semua kenderaan,” ketika dihubungi pagi ini.

Menurutnya, ketika ini. kontraktor giat melakukan kerja-kerja pembinaan laluan lencongan

Katanya, tindakan segera itu bagi memastikan kelancaran aliran trafik di lokasi kejadian memandangkan ia laluan utama menghubungkan Bintulu dan Sibu.

“Ketika ini, kontraktor yang terbabit dalam projek Lebuhraya Pan Borneo sedang berusaha membina laluan sementara dalam mengurangkan kesesakan trafik di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, pengguna sama ada dari arah Bintulu atau Sibu dinasihatkan menggunakan laluan alternatif di Kuala Balingian – Kuala Tatau bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, tinjauan NSTP di lokasi kejadian mendapati syarikat kontraktor turut menempatkan pekerja di kawasan berkenaan bagi mengawal lalu lintas dan atas faktor keselamatan.

Difahamkan, syarikat kontraktor turut menempatkan petugas geoteknikal bagi memantau pergerakan tanah di lokasi kejadian – hmetro