IPOH: Bekas jaguh badminton negara, Lee Chong Wei belum bersedia menerima tawaran menjadi jurulatih skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini dan sebaliknya mahu meluangkan masa bersama keluarga dan melakukan kerja kebajikan.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada beri tawaran, tetapi buat sementara ini saya mahu menghabiskan masa untuk keluarga…dalam masa setahun ini, saya mahu fokus kepada apa yang saya boleh buat melalui kerja kebajikan, serta menjadi ‘chef-de-mission’ (CDM) negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya kepada pemberita selepas sesi “Temu Mesra bersama Wira Badminton Malaysia” di Akademi Badminton Datuk Wira Lee Chong Wei hari ini.

“Masih banyak yang saya perlu belajar untuk jadi CDM ini, dulu saya atlet, sekarang saya pegawai dan saya perlu melihat atlet-atlet lain, selain daripada sukan badminton,” katanya.

Pada 13 Jun lepas, bekas pemain nombor satu dunia ini mengumumkan persaraan selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Antara pencapaian Lee adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak 3 kali pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Kali terakhir Lee merangkul kejuaraan adalah pada saingan Terbuka Malaysia 2018 yang menjadi gelaran ke-12 dalam kerjayanya.