CHUKAI: Seorang Leftenan Komander Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram.

Permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Majistret/Sesyen Kemaman Badrul Munir Mohd Hamdy.

Pegawai berusia 37 tahun itu disyaki menerima rasuah daripada pemilik bot bagi melepaskan bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Suspek yang bertugas sebagai Pegawai Pemerintah sebuah kapal milik Maritim Malaysia itu dipercayai menerima rasuah bernilai antara RM4,000 hingga RM9,000 daripada pemilik bot berkenaan sejak 2016 hingga 2017.

NSTP semalam melaporkan pegawai kanan berpangkat Leftenan Komander Maritim berkenaan ditahan di Dewan Majlis Daerah Pasir Putih, Kelantan, kira-kira jam 11 pagi.

Berdasarkan siasatan, wang rasuah berkenaan sebagai balasan untuk melepaskan bot nelayan asing yang ditahan Maritim Malaysia atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Siasatan SPRM juga mendapati, wang berkenaan dipercayai dimasukkan ke akaun bank milik individu lain yang berkaitan dengan suspek bagi mengaburi pihak berkuasa.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA 2001) – berita harian