IPOH: “Pada mulanya kakak saya mahu goreng telur dadar dan secara tidak sengaja terbentuk telur seakan akan sarang,” jelas pengusaha Trak Makanan Laksa Pokok Limau, Zuraini Mohamad Johor, 23.

 

Siapa sangka telur sarang yang terhasil dengan cara tidak sengaja mampu memenuhi selera penggemar makanan berkuah itu.

laksa2

Jenama Laksa Pokok Limau yang sememangnya sinonim dengan keunikan telur sarang itu turut membuka peluang buat mereka mengusahakan perniagaan berasaskan trak makanan.

 

“Bagi yang tidak tahu, sebenarnya ciptaan telur sarang ini bermula dari kakak saya, dari situ kami lihat ada potensi untuk dikembangkan dalam menu laksa bagi menggantikan telur rebus.

 

“Lama kelamaan kami ubahsuai telur itu dan cuba jadikannya cantik dengan menggunakan minyak yang banyak selain cara bancuhan telur yang tepat,” ujarnya yang meneruskan legasi perniagaan Laksa Pokok Limau.

 

Mereka kini membuka trak makanan di hadapan restoran makanan segera KFC Meru Raya.

 

Menurut Zuraini, keputusan untuk berniaga menggunakan trak makanan adalah sesuatu yang tepat setelah mengambil kira faktor pelanggan masa kini yang mahukan kelainan.

 

Dia yang turut dibantu oleh tunangnya, Mohamad Faiz Ahmad, 23, kini tidak menoleh ke belakang demi meneruskan minat dan impian untuk memperluaskan perniagaan laksa sarang.

laksa3

“Keluarga saya, terutama emak yang jalankan bisnes di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar hampir 10 tahun dan orang ramai pun mulai tahu pasal jenama kami di Ipoh.

 

“Saya dan Faiz akan berulang alik setiap hari dari Kuala Kangsar ke Ipoh dan mulakan jualan di hadapan KFC Meru Raya sejak hampir tiga bulan lalu.

laksa4

“Alhamdulillah sambutan laksa sarang dengan trak makanan setakat ini sangat menggalakkan dengan anggaran kasar setiap bulan boleh cecah RM15,000,” ujarnya.

 

Bantuan Yayasan Bina Upaya (YBU) yang memberi pinjaman dengan bayaran bulanan menjadi salah satu pendorong kepada kejayaan Zuraini sehingga kini.

 

 

“Kami rasa bersyukur sebab terpilih untuk terima bantuan ini dan takkan sia siakan peluang yang diberikan,” jelasnya.

 

Harga bagi menu laksa biasa ialah RM 3.80/ Laksa Telur Rebus 4.30 dan Laksa Telur Sarang RM 4.50.