KUALA TERENGGANU: Ketua komunikasi korporat sebuah syarikat milik kerajaan negeri, berdepan detik cemas apabila lehernya diacukan pisau sebelum disamun di sebuah pangsapuri di Kampung Ladang Tok Pelam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.50 malam, Ahmad Fauzan Abdul Kadir, 32, yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, dikatakan sedang menunggu lif untuk naik ke kediamannya di pangsapuri berkenaan.

Beliau mendakwa, seorang lelaki bertopeng tiba-tiba menerpa ke arahnya lalu menekup mulut sambil mengacukan pisau ke leher.

Katanya, beliau kemudian diheret lelaki itu dari tingkat dua ke tingkat lima sebelum dikurung di dalam bilik sesalur elektrik.

“Ketika berada di dalam bilik itu, lelaki berkenaan mengikat tangan dan kaki saya serta merampas barangan berharga, antara lain telefon bimbit serta cincin emas dan berlian, sebelum beredar.

“Saya kemudian berjaya meloloskan diri daripada ikatan dan mendapatkan bantuan jiran tetangga,” katanya ketika ditemui NSTP, di sini, hari ini.

Akibat kejadian itu, Ahmad Fauzan yang baru beberapa bulan tinggal di pangsapuri berkenaan, mendakwa kerugian kira-kira RM8,000 meliputi wang tunai RM200 dan dua telefon bimbit pintar, selain kunci kereta jenis BMW serta kad bank.

Katanya, beliau sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan diterima.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan, termasuk usaha mengenal pasti dan menjejaki suspek,” katanya.

Mangsa dilaporkan trauma, namun tidak mengalami kecederaan – berita harian