TELUK INTAN – Seorang lelaki berusia lewat 40an ditahan sepasukan anggota polis di perkarangan rumahnya selepas memiliki enam beg plastik daun ketum seberat 76.5 kilogram Rabu lalu.

Suspek yang tidak bekerja dan tinggal di Chenderong Balai, ditahan polis dalam satu Ops Sarang/Ops Tapis Bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, suspek ditahan ketika sedang leka mengisi bungkusan daun ketum ke dalam sebuah kereta.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kesemua beg plastik berisi daun ketum tersebut dianggarkan bernilai RM2,695 dan dipercayai bukan untuk kegunaan di kawasan ini.

“Kita percaya daun ketum berkenaan dibungkus untuk dijual ke luar kawasan dan dikatakan sudah tiga bulan melakukan urus niaga tersebut,” katanya.

-SinarHarian