AMPANG: Seorang lelaki berusia 23 tahun yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Hulu Langat di sini, kelmarin, ditemui pada jam 10 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamed Kassim, berkata mayat mangsa dijumpai orang awam dalam keadaan tersangkut di batu.

Katanya, mayat itu ditemui kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi mangsa tergelincir ke dalam sungai itu.

“Mangsa dipercayai sedang membantu penduduk kampung membersihkan kawasan rumah berdekatan lokasi kejadian sebelum terjatuh ke dalam sungai itu.

“Antara agensi terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mayat mangsa kini berada Unit Forensik Hospital Canselor Tunku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras untuk proses bedah siasat,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Kelmarin, mangsa dihanyutkan kepala air di sungai berkenaan, pada jam 5.30 petang.

Susulan itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi SAR – berita harian