KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih warga Afrika ditahan selepas mencederakan anggota polis dan bomba yang datang ke bilik hotel selepas mereka dilaporkan mengganggu penghuni bilik lain semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pihak pengurusan hotel memaklumkan kepada polis mengenai tindakan seorang penghuni sebuah bilik yang juga lelaki warga Nigeria berusia 23 tahun yang mengganggu pelanggan hotel di bilik lain.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata suspek lelaki dan teman wanitanya yang berusia 29 tahun dilaporkan melakukan kekecohan dengan membuat bising sehingga mengganggu penghuni lain.

“Pada mulanya sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dikerah ke lokasi hotel berkenaan bagi melakukan pemeriksaan ke atas bilik yang didiami warga Afrika terbabit.

“Suspek lelaki dilaporkan bertindak agresif dengan cuba terjun melalui tingkap bilik apabila pihak polis tiba sehingga kita terpaksa mendapatkan bantuan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semasa anggota bomba bersama pihak polis masuk ke dalam bilik bagi menghalangnya terjun, suspek lelaki bertindak membaling objek kaca sehingga mengakibatkan anggota bomba cedera pada bahagian dahi.

“Semasa cuba menahannya, berlaku pergelutan sehingga menyebabkan dua anggota polis mengalami kecederaan akibat ditumbuk dan dipukul suspek sebelum dia dapat diberkas tidak lama kemudian.

“Pemeriksaan ke atas pasport pasangan terbabit mendapati kedua-dua mereka tinggal melebihi masa dibenarkan,” katanya.

Hasil ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati mereka tidak berada di bawah pengaruh dadah namun siasatan lanjut masih dilakukan.

Shaharudin berkata, suspek ditahan reman selama 14 hari atas kesalahan tinggal melebihi masa serta siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 353 kanun yang sama kerana melakukan kekerasan terhadap penjawat awam serta Seksyen 427 kerana merosakkan harta benda.

Anggota bomba dan polis yang mengalami kecederaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil – berita harian