IPOH – Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian samun di bandar raya ini, semalam.

Suspek berkenaan ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 4 petang di Jalan Kampung Dew, Simpang, Taiping.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, lelaki berkenaan ditahan selepas mendapati dia memandu kereta jenis Toyota Altis dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan pada kenderaan itu tidak sama dengan jenis kenderaan yang didaftar selain nombor enjin kereta itu tidak mempunyai rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Semakan nombor casis didaftar di bawah kenderaan jenis Toyota Corolla Altis yang dilaporkan hilang di Dengkil, Selangor,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut menemui beberapa barangan dipercayai di samun dalam kenderaan terbabit.
“Kita rampas 12 beg tangan dan beg laptop, tiga komputer riba dan dua telefon bimbit serta sebuah televisyen.
“Turut ditemui kad pengenalan seorang wanita, 14 kad pelbagai jenis dan 18 kad akses, jam tangan dan kayu golf,” katanya.

Mazuki berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan – sinar harian