KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh menjadikan sebuah restoran di Jalan Tun Tan Siew Sin, di sini, sebagai farmasi bagi menjual ubat yang diperolehi dari negara itu.

Kegiatan lelaki dipercayai berusia 40-an itu disedari ketika beberapa ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Clean Malaysia Movement (CMM) melakukan kajian pengumpulan data di kawasan berkenaan pada 12 Ogos lalu.

Ahli Jawatankuasa CMM, Zahir Khan, berkata ketika kajian dijalankan di restoran itu pada jam 12.30 tengah hari, mereka melihat sebuah kaunter terletak berhampiran dapur premis berkenaan.

“Sebaik mendekati kaunter itu, kami melihat puluhan kotak ubat pelbagai jenis. Seorang daripada kami bertanya kepada lelaki yang menjaga kaunter itu mengenai ubat berkenaan, namun dia terus melarikan diri melalui pintu belakang dapur.

“Sebelum melarikan diri, dia sempat mengambil wang tunai di dalam peti simpanan wang. Kami cuba mengejar lelaki terbabit, namun dia berjaya menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di Balai Berita NSTP, di sini, hari ini.

Zahir berkata, pemeriksaan ubat terbabit mendapati terdapat tulisan dalam bahasa Bangladesh di belakang kotak produk berkenaan dipercayai untuk dijual kepada individu daripada negara sama yang menjalankan kegiatan menjual ubat.

“Kami difahamkan oleh pekerja tempatan di premis bersebelahan restoran berkenaan bahawa kaunter farmasi itu aktif beroperasi sejak lebih setahun lalu.

“Mereka (saksi) juga memaklumkan ada melihat individu warga Bangladesh datang ke restoran terbabit membeli bekalan ubat.

“Antara jenis ubat yang ditemui pada kaunter terbabit adalah Fluconazole, Aceclofenac, Omeprazole, Dezamethasone, Ranitidine, Amoxycillin, Tastysaline, Paracetamol, Ketorolac, Ventolin, Fluconazole dan lain-lain,” katanya.

Zahir berkata, pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung kejadian itu.

“Pemeriksaan terhadap restoran terbabit dua hari selepas kejadian itu mendapati farmasi itu ditutup buat sementara, namun masih terdapat bekalan ubat di kaunter berkenaan.

“Malah, terdapat papan tanda yang diletakkan pada kaunter berkenaan yang memaklumkan farmasi itu ditutup buat sementara waktu.

“Kami berharap pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan terhadap kegiatan itu yang menyalahi undang-undang apatah lagi dalang di sebalik kegiatan itu adalah warga asing,” katanya – berita harian