KOTA BHARU – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas tuduhan membelasah dan menuduh isterinya berzina.

Tertuduh, Mohd Bakhtiar Budiman Mazlan, 28, didakwa dengan sengaja memukul, menendang, memijak kepala, punggung dan betis serta memulas tangan kiri mangsa dalam kejadian jam 6.30 pagi, 17 Mei lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Dalam prosiding itu, tertuduh diwakili peguam awam memohon mahkamah meringankan hukuman dengan mengambil kira pengakuan salahnya yang menjimatkan kos dan masa pihak mahkamah.

Bagaimanapun, Siew Mun memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin kemudian memutuskan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan (19 Mei).

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang peniaga mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencekik isterinya dalam satu pergaduhan, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Shukri Mohamad Salleh, 31, didakwa menyebabkan kecederaan kepada mangsa dalam kejadian jam 12.01 tengah malam, 17 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh juga dikatakan menolak badan dan menampar pipi mangsa.

Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah melakukan ugutan jenayah dengan mengangkat besi untuk memukul mangsa.

Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Jun depan dan tertuduh dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM3,500, dijelaskan isterinya yang berniat menarik balik laporan terhadap tertuduh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wong Siew Mun, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan@Jaohari.