IPOH: Seorang lelaki bersenjatakan parang berputih mata apabila bukan sahaja gagal menyamun sebuah pasar mini di Panorama Lapangan Perdana di sini, malah dikejar dan berjaya diberkas orang awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, suspek memasuki pasar mini terbabit dengan memakai topi keledar sebelum mengacukan parang pada pemilik kedai yang berada di kaunter pembayaran.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai tangkapan orang awam ke atas seorang lelaki dipercayai terbabit samun.

pisau

“Polis kemudian ke tempat kejadian dan berdasarkan keterangan seorang wanita yang juga pemilik pasar mini berkenaan, lelaki ditangkap orang ramai itu cuba menyamun premisnya dengan menggunakan parang.

“Pemilik kedai itu kemudian menyerahkan beberapa barang kes dipercayai digunakan suspek untuk menyamun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketika polis menahan suspek daripada tangkapan orang awam, katanya, lelaki itu didapati mengalami kecederaan bengkak pada bahagian tangan kiri dan kanan serta dahi, selain mendakwa sakit seluruh badan.

“Semakan mendapati suspek berusia 34 tahun dan beralamat di Rumah Pangsa Jalan Pasir Puteh di sini.

“Polis merampas barangan, termasuk parang berserta sarung, beg bimbit dan sebuah motosikal jenis Suzuki TXR 150 berwarna hijau dipercayai milik suspek.

“Suspek dihantar ke hospital untuk rawatan sebelum ditahan di lokap Balai Polis Bercham di sini dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,” katanya.

Sementara itu, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar mini terbabit tular dalam media sosial, menunjukkan suspek yang memakai topi keledar memasuki premis sebelum mengacukan parang pada pemilik kedai di kaunter.

Rakaman video itu memaparkan mangsa mempertahankan diri dengan kerusi sebelum suspek melarikan diri sebaik disedari dan dikejar orang ramai.

Beberapa video lain turut tular yang menunjukkan suspek berjaya dicekup orang ramai dan diikat pada meter air sebelum diserahkan kepada polis.