IPOH 9 Okt. – Seorang lelaki yang disyaki mempunyai masalah mental, menyerah diri di balai polis selepas menetak hingga mati seorang wanita warga Indonesia yang datang untuk membersihkan rumah keluarganya di Kampung Tersusun Tasek di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek berusia 34 tahun menaiki motosikal ke Balai Polis Bercham di sini kira-kira pukul 3.30 petang meminta maaf di atas perbuatannya.

Sehubungan itu, Chang Keong berkata, polis menerima laporan suspek sebagai maklumat pertama dan telah menahan lelaki berkenaan.

“Mangsa yang berusia 40 tahun ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa antara ruang tamu dan dapur dengan kecederaan di bahagian muka, belakang kepala serta putus tiga jari tangan kiri dan kanan.

“Sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek turut ditemukan di bahagian hadapan rumah.

“Ketika kejadian, dipercayai hanya suspek dan mangsa berada di rumah tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE