TAPAH 3 April – Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan semalam kerana dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Kampung Batu 3 di Temoh dekat sini.

Suspek ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada pukul 9 malam setelah dipanggil untuk diambil keterangan ekoran laporan polis yang dibuat bapa mangsa yang juga jiran suspek, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian menimpa kanak-kanak itu terbongkar apabila mangsa memaklumkan perbuatan tidak senonoh suspek itu kepada neneknya.

Katanya, bapa kanak-kanak itu yang diberitahu mengenai kejadian tersebut telah membuat laporan polis dengan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan mendapati, mangsa sering dibawa suspek yang tinggal berhampiran rumahnya ke kawasan lombong dan surau. Mangsa dipercayai beberapa kali dicabul di sana dengan kali terakhir pada 29 Mac lalu.

“Pemeriksaan doktor pakar mendapati terdapat kesan kecederaan pada kemaluan mangsa dan selepas siasatan dilakukan, suspek telah ditahan malam tadi,” katanya.

Menurut Wan Azharuddin, pihak polis mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap lelaki tersebut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya. – UTUSAN ONLINE