PARIT BUNTAR: Seorang lelaki menerima 22 jahitan di pipi kiri selepas cedera dilibas pisau pemotong sayur oleh seorang wanita yang mengamuk di hadapan rumahnya di Bagan Utara, Tanjung Piandang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Lee Guan Siang, 48, cedera ketika cuba menenangkan wanita itu yang sedang mengamuk dan mengacukan sebilah pisau kea rah dua beranak di hadapan rumahnya.

“Ketika itu, saya sedang berehat di dalam rumah; saya terkejut apabila mendengar suara wanita meminta tolong di hadapan pagar rumah.

“Sewaktu keluar untuk memeriksa, sepasang ibu dan anak berada dalam keadaan cemas diacu sebilah pisau oleh wanita itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Lee berkata, ketika dia cuba menghampiri wanita yang mengamuk itu untuk mendapatkan pisau di tangannya, wanita itu tiba-tiba melibas pisau sehingga terkena bahagian kiri mukanya.

Akibatnya, Lee terpaksa mendapatkan rawatan di Island Hospital di Pulau Pinang dan menerima 22 jahitan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakthiar Yaacob berkata, wanita mengamuk berusia 20-an itu dipercayai menghadapi masalah mental dan diserahkan ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan.