SIMUNJAN: Seorang lelaki melecur 30 peratus setelah didakwa mencuba membakar dirinya sendiri di Kampung Sageng Simunjan di sini pagi tadi.

Mangsa yang berusia 24 tahun itu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
Menurut komander operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihak bomba menerima panggilan daripada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan mengenai kejadian itu pada jam 9.42 pagi.

“Setiba di lokasi pihak bomba telah mendapati mangsa telah melecur sebanyak 30 peratus akibat daripada kebakaran itu.”

“Kejadian dipercayai berlaku di rumah kekasih mangsa dan pihak bomba mendapati kebakaran hanya melibatkan lantai rumah sahaja,” katanya.

Mangsa dihantar ke Hospital Simunjan untuk menerima rawatan lanjut.