Batu Gajah: Sepasang kekasih yang dipercayai aktif menghasilkan dan mengedar dadah di sekitar daerah ini sejak empat bulan lalu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Besar Bemban Baru, di sini dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari berkata, dalam serbuan sekitar jam 2.45 petang, 24 januari itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dan sebuah kenderaan mewah Audi TT bernilai RM100,000.

Katanya, tangkapan terhadap supek lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam masing-masing berusia 47 dan 32 tahun terbabit dibuat hasil daripada risikan oleh  Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

“Ketika serbuan itu, polis telah menemui satu botol cecari klorofom 500 militer, dadah jenis heroin seberat 27 gram, ketamin dengan berat 1.12 gram dan kafein seberat 24.2 gram dipercayai untuk diedarkan di sekitar Batu Gajah.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti pembabitan suspek wanita dalam pengedaran dan pembuatan dadah yang dilakukan teman lelakinya itu,” kata beliau dalam satu sidang media khas di sini pada Khamis.

Tambah beliau, suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.

“Ujian air kencing yang dilakukan mendapat lelaki berkenaan positif dadah jenis morfin manakala wanita positif amphetamine serta methamphetamine.

“Wanita itu juga kini disiasat mengikut Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” ujar beliau.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama 14 hari sehingga 6 Februari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.