ALOR SETAR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram, bersetubuh dengan anaknya selama tiga hari berturut-turut, tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Terdahulu, tertuduh yang bekerja sendiri hadir di mahkamah berpakaian kemeja-T hitam serta seluar biru, dan kelihatan tenang sepanjang prosiding bermula jam 10.15 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram, iaitu bersetubuh dengan mangsa yang ketika itu berusia 10 tahun di Mergong, di sini, selama tiga hari berturut-turut dari 13 hingga 15 April 2016.

Bagi semua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana membabitkan kes berkepentingan awam dan tertuduh ada hubungan kekeluargaan dengan mangsa, selain dikhuatiri mengganggu saksi.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Mohd Alif berkata, kes terbabit mengambil masa lama untuk diambil tindakan berikutan banyak proses perlu dilalui memandangkan tertuduh berkahwin di negara jiran, selain menunggu keputusan bagi mengetahui kesahihan status hubungan kekeluargaan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh memiliki dua rekod kesalahan lampau, termasuk satu kes menyebabkan kematian – Berita harian