IPOH : Seorang pekerja restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki majalah berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan pengganas IS.

Hafiz Othman, 42, hanya mengangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan setelah pertuduhan dibacakan di depan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, Hafiz didakwa memiliki empat naskhah majalah, iaitu Dabiq – Kembalinya Khalifah, Dabiq – The Flood, Dabiq – Panggilan Untuk Hijrah dan Al-Mustaqbal – The Last War (Malhamah Al Kubro) yang berkaitan IS.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Malim Nawar, Kampung Changkat Baru, Malim Nawar di Kampar kira-kira 2.30 petang 18 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, Hafiz didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Asif Mohd Noor.

Terdahulu, Izhanudin memohon mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan, selain memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 30 Mei lalu, Hafiz turut didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan pergi ke Sinai di Mesir dari Malaysia dengan niat melakukan aktiviti keganasan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pintu C1 Terminal Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.05 petang 17 Mei lalu mengikut Seksyen 130 JA Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda.

-BERNAMA