KANGAR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan membunuh kanak-kanak berusia enam tahun, bulan lalu.

Noraizuwan Hamali, 26, didakwa menyebabkan kematian anak teman wanitanya, Muhammad Rayyan, antara jam 3.45 petang pada 18 April hingga jam 12.10 tengah malam 19 April lalu di sebuah rumah di Kampung Jejawi, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh sebelum itu tidak memahami pertuduhan yang dibaca dua kali oleh jurubahasa mahkamah, menyebabkan Majistret Norhayati Ibrahim mengambil alih dan membacakan sendiri pertuduhan berkenaan.

Noraizuwan kemudian memohon kepada Majistret supaya dipenjarakan secara berasingan selepas didakwa dipukul.

Bagaimanapun, Norhayati berkata, perkara itu adalah atas budi bicara pihak penjara dan tertuduh boleh membuat laporan sekiranya dipukul.

“Depa kata saya gila, jadi macam mana tu?” kata tertuduh tetapi pertanyaannya tidak dilayan Majistret.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 4 Jun ini.

Media sebelum ini kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus.

Perbuatan itu terbongkar susulan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Susulan itu, polis menahan ibu mangsa berusia 31 tahun dan teman lelakinya berumur 26 tahun, selepas kedua-duanya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

Ibu mangsa dibebaskan dengan jaminan polis – berita harian