ALOR SETAR: Seorang penjual dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini kerana merogol adik iparnya yang berusia 13 tahun.

Hakim Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, berusia 23 tahun, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Tertuduh dituduh melakukan persetubuhan haram dengan mangsa di dalam sebuah kereta jenis Toyota Sienta di kawasan hutan berhampiran jalan ke Istana Bukit Malut, Langkawi pada 5 Januari lalu, kira-kira jam 6 petang

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan..

Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur melakukan pendakwaan sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tertuduh juga merayu supaya dikenakan hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan seorang anak dan isteri.

Bagaimanapun, Rehab berhujah supaya hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kekerapan berlakunya kes sumbang mahram dalam masyarakat.