IPOH: Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang pengurus syarikat kawalan keselamatan di sini empat tahun lalu.

Lee Meng Boon, 39, didapati bersalah membunuh Jasrafveendeerjeet Singh, 25, di depan kedai makanan dan minuman Sun Heng di No 350, Lebuh 5, Kampung Simee, di sini, kira-kira jam 10.15 malam, 28 Julai 2013.

Pesuruhjaya Kehakiman SM Komathy Suppiah menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan sepanjang perbicaraan.

Tertuduh berasal dari Bukit Baru, Melaka, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Meng Boon juga didapati bersalah atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh Kok Loo Kong, 55, dan Sarbjit Singh Harder Singh, 28, di tempat, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffry Ong manakala tertuduh diwakili peguam Sudesh Singh Salinder Singh.