ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk kedai mati ditembak ketika cuba merempuh beberapa anggota polis di belakang lorong, Jalan NB2, 10/2, Taman Nusa Bestari 2, di sini, jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pada awalnya sepasukan polis yang menerima maklumat berkaitan kes pecah masuk kedai ke bangunan rumah kedai bagi meninjau keadaan.

Beliau berkata, polis mendapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan pintu masuk sebuah kedai dan lelaki itu cuba melarikan diri ke arah lorong belakang sebelum berjaya diperangkap polis.

Katanya, ketika dalam proses menggari lelaki berkenaan yang dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk kedai, tiba-tiba sebuah Proton Iswara dipandu laju cuba merempuh anggota polis dan lelaki berkenaan.

“Anggota polis cuba memberi amaran dan menghalang kereta berkenaan namun ia terus meluru ke arah mereka.

“Anggota polis berjaya menyelamatkan suspek pertama daripada dirempuh dan melepaskan satu das tembakan ke arah kereta bagi mempertahankan diri. Kereta itu terbabas dan berhenti pada jarak 120 meter,” katanya.

Mohd Khalil berkata, polis mendapati tembakan itu terkena seorang lelaki yang juga pemandu kereta dan dia maut di tempat kejadian.

“Polis turut menemui sejumlah wang yang dipercayai hasil rompakan disimpan dalam kereta terbabit,” katanya.

Mohd Khalil berkata, hasil siasatan awal, polis mendapati lelaki yang maut memiliki 15 rekod jenayah lampau selain menjadi buruan polis bagi dua kes jenayah.

“Dalam kejadian pada hari ini, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pecah masuk kedai.

“Polis akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada si mati dan suspek yang ditahan mempunyai kaitan dalam kes pecah masuk di sekitar kawasan Iskandar Puteri sebelum ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini – berita harian