TELUK INTAN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Batang Padang ketika menjala ikan di Kampung Tanjung Keramat, Langkap sekitar jam 6.30 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Zulkafle Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.37 petang semalam.

“Kami menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang mangsa lelaki dipercayai lemas ketika menjala ikan di Sungai Batang Padang.

“Berdasarkan daripada maklumat diperolehi mangsa dikenali sebagai Samsudin Md Sarmuji, berusia 43 tahun telah ke sungai berkenaan bersama keluarga adik iparnya seramai lima orang,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketika sedang menjala di Sungai Batang Padang, mangsa dipercayai dihanyutkan air deras sebelum hilang.

“Untuk semalam anggota bomba telah melakukan pencarian menyelam ke dasar sungai mangsa dikatakan jatuh selain menggunakan dua unit bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mencari mangsa.

“Seramai 34 anggota bomba terlibat bersama tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 10 anggota polis dan lapan anggota rela sehingga jam 3 pagi,” katanya.

Zulkafle berkata operasi mencari dan menyelamatkan mangsa masih diteruskan bermula jam 7.30 pagi ini.

-SinarHarian