TAIPING 25 Dis. – Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Air Terjun Pecah Batu dekat Trong di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Razlam Ab. Hamid berkata, mangsa, Muhammad Taufik Mahamad, 29, pergi ke kawasan perkelahan berkenaan bersama seorang rakan kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, rakan lelaki itu kemudiannya telah pergi ke bahagian atas kawasan perkelahan tersebut untuk memancing manakala mangsa pula mandi kawasan sekitar.

“Semasa rakannya turun semula ke kawasan itu sejam kemudian, didapati mangsa telah tiada di tempat dia mandi dan hanya tinggal pakaian dan beg mangsa sahaja.

“Rakan mangsa cuba mencari lelaki itu bersama orang awam namun gagal dan telah menunggu mangsa sehingga pukul 7.30 petang sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, operasi mencari mangsa segera dijalankan dengan bantuan anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak semalam.

“Sehingga kini mangsa masih belum dijumpai dan operasi masih diteruskan lagi,” katanya.-UTUSAN ONLINE