PARIT BUNTAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Sungai Kerian di Parit Buntar, di sini, awal pagi Selasa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 3.35.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati seorang lelaki berusia 52 tahun dipercayai terjun ke dalam sungai berkenaan.

Anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Bagaimanapun, sehingga 8 pagi masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai lokasi mangsa.

“Kerja-kerja mencari mangsa masih diteruskan dan kawasan pencarian kini diperluaskan,” katanya di sini.

Operasi mencari dan menyelamat diketuai Pegawai Bomba Alias Hassan.