MUAR : Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, daripada tuduhan membunuh teman wanitanya yang merupakan warga Singapura di Kluang, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Halijah Abbas membuat keputusan itu terhadap Tan Jiann Fah, 49, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan hukuman penjara 18 tahun yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi sama terhadap tertuduh pada Februari 2018.

Ketika itu, mahkamah memutuskan untuk menjatuh hukum Tan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh tanpa niat dan bukannya di bawah Seksyen 302 kanun sama kerana mendapati wujud kes prima facie di bawah Seksyen 304 (a) lantas menyebabkan kes dipinda daripada seksyen asal.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung pindaan terbabit dan berjaya membawa kes itu untuk didengar semula bagi pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni manakala tertuduh diwakili peguam S. Vijayaretnam.

Mengikut fakta kes, Tan didapati berada bersama Goh Poh May (ketika itu berusia 40 tahun) di rumah No. 43 Jalan Saujana Bistari 2, Taman Saujana, Kluang, pada 24 Jun 2014 kira-kira 12 tengah malam.

Semasa masuk ke bilik tidur, mangsa telah bertengkar dengan tertuduh kerana tertuduh cemburu melihatnya memegang lelaki lain ketika minum di sebuah kedai kopi di Kluang.

Pertengkaran menyebabkan tertuduh bertindak menekup bantal di atas muka mangsa dan mengakibatkannya meronta-ronta kelemasan sebelum akhirnya tidak sedarkan diri.

Pada keesokannya, tertuduh cuba mengejutkan mangsa namun mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Tan kemudian melarikan diri ke Gua Musang, Kelantan dan ditangkap pada 6 Sept 2016.

Tertuduh sepatutnya berdepan hukuman mati jika sabit dengan kesalahan di bawah Seksyen 302 KK. – BERNAMA