KAMPAR– Teka-teki mengenai kehilangan seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman akhirnya terjawab apabila ditemui lemas di dalam perigi oleh penduduk kampung di Mambang Diawan, dekat sini malam tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kampar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9 malam berkenaan kejadian itu.

“Maklumat dari orang awam menyatakan mangsa dipercayai hilang sejak semalam (6 April) dan penduduk kampung membuat pencarian sehingga berjaya menjumpai mangsa di dalam perigi.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk menaikkan mangsa ke atas dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital,” katanya di sini pada malam Sabtu.

Dalam pada itu ujarnya, mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi itu yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Shariman Mohd Yusof tamat pada sekitar jam 10.33 malam.