IPOH: Polis menahan seorang lelaki dan merampas daun ketum seberat 50 kilogram dalam satu pemeriksaan di Jalan Lambor Kiri, Bota pada pukul 7.30 malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek ditahan polis selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan menemui daun ketum itu di dalam bonet kereta Proton Wira dipandunya.

“Daun ketum itu ditemui dalam lapan bungkusan plastik hitam dengan anggaran keseluruhan seberat 50kg.

“Suspek ditahan dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif methampetamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek berusia 38 tahun itu berasal dari Bukit Gantang, Taiping, kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952.