BINTULU: Seorang lelaki ditahan polis dalam satu operasi di Jalan Tanjung Batu di sini, awal pagi semalam, disyaki terbabit jenayah mencuri motosikal.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili, berkata suspek berusia 26 tahun ditahan apabila cuba melarikan diri ketika diarah berhenti untuk pemeriksaan oleh anggota bertugas.

“Dalam kejadian jam 2.30 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu sedang menjalankan rondaan rutin di lokasi berkenaan sebelum terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka kemudian mengarahkan suspek berhenti untuk pemeriksaan. Bagaimanapun, suspek memecut motosikalnya dalam cubaan melarikan diri tetapi berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hasil semakan lanjut mendapati motosikal digunakan suspek dilaporkan hilang pada 3 Januari lalu.

“Siasatan lanjut turut membawa kepada penemuan sebuah lagi motosikal yang dilaporkan hilang pada 16 Disember tahun lalu.

“Kita sedang menyiasat sama ada suspek ada kaitan dengan beberapa lagi kes curi motosikal dilaporkan di Bintulu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, iaitu jenayah mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun, jika sabit kesalahan – berita harian