PARIT: Seorang lelaki berusia 30 tahun telah ditahan oleh pihak polis selepas mengakui kenderaan yang dipandunya mengandungi bom di simpang lampu isyarat Bota Kiri, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki berkenaan telah berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri selepas memaklumkan perkara tersebut kepada seorang anggota polis yang bertugas pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTDL) di sekitar kawasan itu.

“Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) masih lagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan lelaki yang memandu kereta jenis Mercedes-Benz itu, mereka ketika ini sedang menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan.

“Lelaki itu pula telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar dakwaan tersebut,” katanya.

Beliau turut memberitahu akan mengeluarkan laporan lengkap sebaik sahaja siasatan dan pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan selesai.