PASIR SALAK 26 Dis. – Berang terhadap ibunya yang enggan memberikan wang ganti rugi mengubah suai rumah sebanyak RM40,000, seorang lelaki sanggup menumbuk muka ibunya selain mengugut bunuh menggunakan parang dalam kejadian di Ulu Dedap, Kampung Gajah dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, mangsa yang berusia 67 tahun mengalami bengkak di bahagi pipi dan lidah akibat ditumbuk.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis dan lelaki tersebut yang berusia 48 tahun diberkas lapan jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menahan suspek di jalan besar di hadapan Balai Polis Jejawi dekat sini pada kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa enggan memberikan wang sebanyak RM40,000 yang diminta suspek untuk ganti rugi rumah ibunya yang telah diubahsuai olehnya sebelum ini.

“Suspek sebelum ini tinggal bersama ibunya tetapi berpindah selepas berkahwin,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, suspek yang merupakan anak sulung dari tiga beradik itu kini ditahan reman selama 4 hari sehingga 29 Disember ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – UTUSAN ONLINE