BATU GAJAH – Seorang lelaki ditemui lemas di sebuah lombong tinggal berhampiran Jalan Batu Gajah, Bemban Raya, di sini, kelmarin.

Difahamkan mangsa dipercayai mengalami kekejangan otot ketika mandi bersendirian di lombong yang dijadikan kolam ikan itu.

Adik mangsa yang cuba membantu menyelamatkannya dengan menarik mangsa menggunakan kayu bagaimanapun gagal berbuat demikian.

Mayatnya ditemui anggota balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah kira-kira enam meter dari tebing jam 9.20 malam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, ketika tiba di lokasi anggotanya mendapati pihak bomba dan penyelamat telah menemui mayat mangsa dalam keadaan tidak berbaju dan berseluar pendek.

“Pemeriksaan yang dijalankan di sekitar tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai Aely Boy berusia lingkungan 20-an.

“Susulan itu, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat,” katanya, semalam.

-SinarHarian