Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Seorang lelaki ditemui mati lemas di kawasan lombong berhampiran jambatan Mat Selangor, dekat sini pada pagi Ahad.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, Pegawai Bomba Kanan I Zainal Wok, dalam laporan menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan sekitar 9.45 pagi dan segera ke lokasi.

“Setibanya di lokasi kami telah menggunakan alat besi pencengkam (gripping iron) untuk mengesan kedudukan mangsa dan berjaya ditemui pada jam 11.40 pagi.

“Mangsa, ditemui dalam jarak 2 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Zainal, mangsa dipercayai pergi menjala ikan sebelum lemas di lombong berkenaan.

Katanya, operasi yang memakan masa selama dua jam itu turut menerima bantuan daripada pihak BBP Batu Gajah dan Tanjung Tualang.

“Operasi tamat sekitar jam 12.38 dan mangsa telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,”ujarnya lagi.