IPOH: Seorang lelaki ditemui maut dengan kesan kelar di leher meninggalkan sekeping nota di dalam biliknya di Laluan Sungai Pari, Buntong, di sini pada petang Ahad.

J.S Daljit Singh, 47, meninggalkan nota yang berbunyi “masalah peribadi saya sendiri, saya sayang ahli keluarga dan semua orang”.

Dia ditemui terbujur kaku berlumuran darah di kawasan semak di belakang rumah oleh adiknya sekitar pukul 4 petang, yang kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 4.49 petang.

“Siasatan mendapati tiada kesan pergelutan pada badan mangsa. Polis menemukan sebilah pisau berlumuran darah berhampiran mangsa.

“Pasukan perubatan mendapati kesan kelar di sekeliling leher telah memutuskan kulit di bahagian itu dan mangsa mengalami kehilangan darah yang banyak,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.