Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap 105 pertuduhan menipu seorang pengurus syarikat berjumlah RM6.3 juta tahun lalu.

Tertuduh N.Narendran, 36, didakwa menipu pengurus SMB Tech Enterprise Hafizul Abdul Hamid, 40, dengan memperdayakan mangsa untuk melabur dalam membekalkan peralatan perubatan pakai buang kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Tertuduh telah memperdaya mangsa dengan menyakinkannya bahawa borang pesanan kerajaan palsu sebagai tulen.

Tertuduh didakwa telah mendorong mangsa menyerahkan cek dan wang tunai antara RM20,000 hingga RM350,000 bagi tujuan pelaburan yang tidak wujud tersebut.

Narendra didakwa telah melakukan kesalahan tersebut di empat lokasi berbeza antara Mei hingga Disember tahun lalu.

Hakim Ikmal Hishan kemudiannya membenarkan jaminan sejumlah RM90,000 dengan seorang penjamin.

Narendra membayar wang jaminan.