KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan terbabit dalam aktiviti pembiayaan keganasan dan memiliki bahan berunsurkan perbuatan pengganas.

Pertuduhan terhadap Salahuddin Abd Latif, 40, dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Salahuddin memasukkan RM300 ke dalam akaun Maybank didaftarkan atas nama sebuah syarikat milik seorang lelaki berumur 36 tahun, dipercayai harta itu akan digunakan sebahagian atau keseluruhannya dalam melaksanakan perbuatan pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 106, Lorong Mawar 15, Taman Mawar Fasa 1, Jalan Spur Kinarut di Papar, 1 April 2016.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan nilai RM300 di alamat sama pada 18 Mei 2016, manakala pertuduhan ketiga, membabitkan nilai RM1,000 pada 4 Julai 2016.

Bagi tiga pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130N Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130N(b) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memiliki item-item berunsurkan perbuatan pengganas dan berkaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS) pada jam 6.20 pagi, 26 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan ini dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Khairuddin Idris, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 14 Disember untuk sebutan semula kes – berita harian