IPOH: Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 4.5 kilogram dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, S.M. Komathy Suppiah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Muhammad Azhar Muhammad Zaini, 25, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 4,540 gram di tepi jalan berhampiran gerai makan di No. 1,042, Batu 19, Kuala Dal, Kampung Kuala Dal di Padang Rengas kira-kira jam 2 petang, 25 Ogos 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dua lagi tertuduh kes berkenaan iaitu adik Muhammad Azhar, Muhammad Naim, 23, dan Ahmad Asraf Mohd. Nasir, 26, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.