ROMPIN: Tindakan pantas bomba dan orang awam berjaya menyelamatkan sekumpulan lelaki yang hampir lemas dibawa arus ombak ketika memukat udang di Pantai Hiburan, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, sekumpulan lelaki dianggarkan seramai tujuh orang sedang melakukan aktiviti pukat tarik di pantai itu berikutan musim memukat udang yang lazimnya bermula awal Mac pada setiap tahun.

Saksi, Mohd Hafiz Bakar,42, berkata, dia berkunjung ke pantai berkenaan selepas kerja dan hairan melihat keadaan kelam kabut.

“Saya lihat ada orang awam membawa naik beberapa lelaki yang hampir lemas dibawa arus ombak yang boleh dikatakan agak besar berbanding sebelum ini.

“Tidak berapa lama selepas itu sepasukan anggota bomba dengan dua jentera tiba dan berjaya menyelamatkan baki lelaki yang masih berada di laut,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, dia difahamkan ada lelaki yang berjaya diselamatkan dibawa oleh orang awam ke Hospital Rompin sebelum pasukan bomba tiba.

“Mungkin kumpulan lelaki memukat udang itu adalah orang tempatan yang sudah biasa dengan keadaan laut kerana ada diantaranya tidak panik apabila dibawa arus sebaliknya dapat terapung.

“Kalau tidak tahu bertindak dibimbangi keadaan lebih buruk boleh berlaku,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, aktiviti menangkap udang di pantai berkenaan adalah perkara biasa pada awal Mac dan ramai mengambil kesempatan untuk memukatnya.

“Tetapi ombak hari ini agak besar berbanding semalam, saya tidak pasti mengapa mereka turun juga ke laut untuk memukat udang,” katanya – berita harian