AMPANG: Seorang lelaki dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan menghantar gambar pornografi seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kepada ibu mangsa sendiri, pada Februari lalu.

Zaulkefli Ahmad, 56, yang bekerja sendiri bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan masing-masing di depan Hakim Suzana Hussin dan Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, bapa kepada dua anak itu didakwa menghantar 33 gambar pornografi mangsa melalui aplikasi WhatsApp kepada ibu mangsa yang juga seorang warga Indonesia berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah.

Dia didakwa melakukan semua pertuduhan itu di sebuah rumah di Pandan Perdana di sini antara 23 Februari hingga 9 Mac lalu.

Bagi semua pertuduhan itu, Zaulkefli didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan boleh disebat tidak kurang tiga sebatan.

Terdahulu, pendakwaan masing-masing dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M S Arunjothy dan Nor Hashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah kanak-kanak, selain kes dihadapi tertuduh adalah serius.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin.

Kedua-dua mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu tarikh sebutan itu.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan mengalami pendarahan serius di kepala dipercayai didera kenalan ibunya.

Siasatan awal polis mendapati ibu kanak-kanak itu seorang warga Indonesia, menyerahkan anaknya kepada suspek berusia 56 tahun untuk dijaga sementara dia bekerja sebagai pembantu rumah di Kampung Cheras Baru – berita harian