KAMPAR 24 Mac – Seorang peserta lelaki berusia 29 tahun dilaporkan hilang semasa menyertai perlumbaan Gopeng Ultra Trail dari Gua Tempurung di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kehilangan Mohammad Ashraf Hassan itu disedari

rakannya pada pukul 2 petang sebaik sahaja selesai perlumbaan.

Katanya, rakan mangsa cuba menghubungi lelaki itu namun panggilannya tidak berjawab sebelum dia kemudiannya

memaklumkan perkara tersebut kepada pihak penganjur.

“Mangsa bersama 485 peserta lain telah menyertai perlumbaan Gopeng Ultra Trail dari Gua Tempurung bagi kategori 25 Kilometer pada pukul 7.30 pagi semalam.

“Bagaimanapun, selepas selesai perlumbaan pada pukul 2 petang, mangsa masih belum sampai dan perkara itu

dimaklumkan kepada penganjur sebelum usaha mencari dijalankan di kawasan laluan peserta namun lelaki itu masih gagal ditemui,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha mencari lelaki terbabit dilakukan selepas pihaknya menerima laporan oleh rakan mangsa yang dibuat di Balai Polis Gopeng pada pukul 1 petang tadi. – UTUSAN ONLINE