KUALA KANGSAR: Seorang lelaki terjatuh ke dalam gaung sedalam 100 meter berdekatan Bukit Lata Panjang, Kampung Laneh, Lubuk Merbau dekat sini, dipercayai akibat pening secara tiba-tiba.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 11.17 pagi tadi.

“Sejurus jentera tiba di tempat kejadian, terdapat seorang lelaki berusia 41 telah terjatuh ke dalam gaung dengan kedalaman 100 meter.

“Waktu itu mangsa masih berada di kawasan gaung dan berada dalam keadaan terkejut, di samping memaklumkan bahawa beliau pening secara tiba-tiba dan tidak sedar ketika terjatuh,”katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggota Bomba telah bertindak memapah mangsa untuk naik ke atas.

Pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS)turut memeriksa keadaan mangsa dan mengesahkan tiada sebarang kecederaan pada tubuh badannya.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Zainal Abidin Ahmad Taken tamat pada jam 12.30 tengahari.