IPOH: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Seorang lelaki warga asing berpura-pura mengaji al-Quran sebaik menyedari kehadiran polis selepas ‘memancing’ duit tabung di Masjid Al Ansar di Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, usaha lelaki warga Kemboja berusia 31 tahun berkenaan bagaimanapun gagal mengaburi pihak berkuasa susulan perbuatannya mencuri duit tabung disedari pengurusan masjid melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya mendapat maklumat melalui panggilan telefon daripada pengurusan masjid memaklumkan kegiatan jenayah itu pada pukul 4.05 pagi.
“Pihak masjid memaklukan melalui pengawasan CCTV terdapat lelaki yang masuk ke kawasan masjid dan mencuri duit tabung.

“Berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota Balai Polis Jelapang ke masjid terbabit kira-kira 10 minit kemudian dan sebaik sampai mendapati seorang lelaki berpakaian baju Melayu dan berkain pelikat sedang duduk di kaki lima masjid bersebelahan tabung.

“Lelaki berkenaan dipercayai berpura-pura mengaji al-Quran dan sebaik pemeriksaan dilakukan, polis menemui wang tunai dalam poket baju sebanyak RM160,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ali berkata, pemeriksaan lanjut menemui dalam lipatan kain pelikatnya terdapat empat tali kabel yang dilengkapi pelekat di hujungnya.

“Kabel berkenaan dipercayai digunakan untuk memancing duit tabung masjid dan suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Kejadian tersebut telah dirakam melalui CCTV dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.