BAGAN SERAI: Seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya, dipercayai mengelar lehernya di sebuah pasar raya, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata lelaki itu dipercayai masuk ke ruang barangan basah pasar raya berkenaan sebelum mengambil pisau dan mengelar lehernya.

Katanya, mangsa yang parah kemudiannya berjalan keluar dari pasar raya itu dalam keadaan berlumuran darah.

Dia bagaimanapun rebah di hadapan pintu masuk utama pasar raya dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Parit Buntar (HPB) oleh Agensi Pertahanan Awam Malaysia Kerian, sebelum dirujuk ke Hospital Taiping berikutan kecederaan teruk pada saluran pernafasannya.

“Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.